Ucapan Presiden PEHAM Sempena Tahun Baru 2020
Assalamualaikum wbt.
Kepada semua para pendukung dan pejuang hartanah yang dihormati sekalian. Kita akan menyambut tahun baru 2020 pada esok hari, saya selaku Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru.
Saya ingin mengajak diri saya dan semua para pejuang sekalian untuk kita memperbaharui visi dan misi kita. Tentunya idaman kita adalah untuk menjadi hamba Allah yang diredhai di dunia dan akhirat dan harapan besar kita adalah semoga kita dapat bertemu dengan Allah S.W.T. di syurga nanti.
Tentunya membawa visi yang besar ini, maka kita harus menggandakan usaha untuk kita memberi yang terbaik dalam hidup ini. Insyaallah saya yakin bahawa nilai-nilai universal, jujur, tanggungjawab, disiplin, kerjasama, adil dan prihatin tentunya merupakan nilai yang perlu kita hidupkan untuk menghadapi tahun 2020 dan segala rintangan, ujian dan ombak yang mungkin membadai pada tahun 2020 ini.
Maka saya mengajak diri saya dan semua sahabat2 sekalian untuk memastikan karakter kita dibina dengan keyakinan yang teguh, keberanian yang tinggi dan mempunyai sifat kesabaran dan rasa syukur terhadap Ilahi.
Insyaallah kita bentuk semua ini melalui mekanisma yang telah pun siap disediakan kepada kita melalui solat, puasa, zakat dan juga ajakan untuk kita mengerjakan haji. Jadi saya berharap supaya pada tahun 2020 ini merupakan tahun kejayaan buat semua, pastikan supaya kita melengkapkan perancangan tahunan kita dengan kemas dan perancangan itu adalah perancangan yang boleh diukur dengan jelas dan teruskan tindakan dengan berkesan, adakan senarai semak kerja setiap hari sebelum memulakan kerja dan pastikan perkhidmatan kita lebih baik serta dapat memberi nilai tambah kepada pelanggan-pelanggan kita.
Selamat menyambut Tahun Baru 2020, sinar kebahagian menanti anda insyaallah.
Tuan Haji Sr Ishak Ismail -Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia-
“Maju Bersama PEHAM”