BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Hil Hamd.

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan akhirnya sekaligus meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera setelah hampir dua tahun berdepan pendemik Covid-19. Saya percaya dan yakin di mana sahaja umat Islam berada, pasti akan merasai getaran takbir menyentuh jiwa mengagungkan kebesaran Illahi. Menjelang Syawal yang mulia di tahun ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga Peham Malaysia dan kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Aidilfitri adalah hari kita menyambut kemenangan dan sebagai ganjaran kepada mereka yang sabar dan taat beribadah sepanjang berada di madrasah Ramadan 1443H.

Sambil kita bergembira di hari raya, teruskanlah tradisi ziarah menziarahi yang selama ini menjadi amalan kita. Runtuhkanlah ‘tembok prasangka’ dan bukalah seluas-luasnya pintu rumah dan pintu hati kita untuk menerima kunjungan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, pangkat dan kaum. Ambillah peluang pertemuan di bulan yang penuh barakah ini sebagai medan saling bermaafan antara satu sama lain. Malah saya sentiasa percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain. Insya Allah di atas sokongan semua warga Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, saya berharap Syawal yang menjelang tiba bakal menjadi garis permulaan kepada kejayaan yang lebih besar kepada seluruh pemain industri hartanah di Malaysia. Saya percaya hari yang mulia ini memberi ruang kepada kita semua untuk merapatkan lagi jalinan ukhuwah sesama kita yang menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang lebih kukuh dan dinamik.

Kepada semua warga Peham Malaysia yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya, rancanglah perjalanan dengan baik dan pastikan periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Patuhilah undang-undang lalulintas, pandu dengan cermat dan waspada bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Jangan jadikan diri dan keluarga menjadi sebahagian statistik kemalangan jalan raya. Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi masing-masing dan sentiasa mematuhi SOP ketika menyambut perayaan.

Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijriah. Maaf zahir dan batin.

(SR TUAN HAJI ISHAK BIN ISMAIL)

PRESIDEN PERSATUAN PERUNDING HARTANAH MUSLIM

MALAYSIA (PEHAM)